Salam Jumaat untuk semua...bersiaran lagi..Tajuk entri kali ini budaya membaca semakin dilupakan dan kurang mendapat sambutan dari rakyat Malaysia.Kajiselidik oleh Perpustakaan Negara Malaysia pada tahun 1996 dan 2005 kedua-duanya menunjukkan rakyat Malaysia secara purata hanya membaca dua buah buku setahun. Rakyat Jepun dan Perancis membaca 10 buku, manakala rakyat Amerika dan Kanada paling hadapan dengan 17 buku.Kurangnya tabiat membaca di kalangan rakyat Malaysia sememangnya membimbangkan. Golongan belia dan dewasa kini lebih menjerumus ke arah hedonisme dan hiburan berasaskan digital. Mereka tidak lagi menemukan keseronokan dalam membaca sebagai hobi di waktu lapang, jauh pula sebagai sumber hiburan. Akibatnya, hujah dan perbualan harian semakin tegar dinodai pandangan peribadi yang kurang berasas dengan kesahihan yang berpaksikan maklumat picisan dari Facebook dan Twitter.
Secara tuntasnya,Membaca ialah kaedah terpantas untuk memperolehi ilmu dan mendapatkan fakta. Secara langsung, membaca juga memperkukuh perbendaharaan kata dan penguasaan linguistik pembaca. Perolehan ilmu ini seterusnya dapat melatih kefasihan berbicara serta menambah fakta baru dan memperlengkapkan yang sedia ada. Pemikiran pembaca seterusnya dapat mempertajamkan kesedaran sivik, sosial, ekonomi, politik, sejarah dan isu-isu berbangkit masa kini.
Buku juga mampu membawa pembaca ke dimensi berbeza seterusnya melatih daya imaginasi kreatif serta perkembangan emosi EQ pembaca. Dimensi lain ini membawa pembaca menerokai pengalaman maya yang mungkin tidak dapat dirasai dalam kehidupan sehariannya, serta mencanangkan perspektif alternatif untuk melihat dunia melalui kacamata yang berbeza.
Hasrat murni ini harus diletakkan sebagai tanggungjawab bersama oleh setiap individu. Tabiat membaca mampu dan akan mengubah nasib negara kita. Marilah kita menerapkan budaya minat membaca di kalangan rakyat Malaysia, menggalakkan budaya cintakan ilmu, serta mempertingkat status sosio-ekonomi kita demi merealisasikan impian untuk sebuah Malaysia yang lebih baik ke arah kecemerlangan negara.
No comments:
Post a Comment